Satu delegasi ekonomi dan perdagangan Hainan telah mengadakan lawatan ke Almaty, Kazakhstan dan Tashkent, Uzbekistan dari 10 hingga 12 November. Sepanjang lawatan itu, delegasi berkenaan menganjurkan dua forum pertukaran ekonomi dan perdagangan Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan, selain menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga persatuan perniagaan tempatan, iaitu Dewan Perniagaan Antarabangsa Kazakhstan, Dewan Perniagaan dan Industri Uzbekistan serta Persatuan Uzbekistan bagi Pembangunan Pelaburan dan Usahawan.
Di Almaty, delegasi berkenaan bersama-sama Dewan Perniagaan Antarabangsa Kazakhstan menganjurkan satu forum pertukaran. Syarikat-syarikat Hainan yang mengambil bahagian mewakili pelbagai sektor, termasuk teknologi pertanian dan penternakan, pelaburan serta pembuatan pintar. Akim atau ketua pentadbiran bagi Daerah Panfilov di Wilayah Jetisu, Kazakhstan, bersama wakil syarikat tempatan turut menghadiri acara itu. Syarikat dari kedua-dua pihak meneroka peluang kerjasama dalam bidang pemprosesan produk pertanian, tenaga, mineral dan bahan baharu, automotif serta alat ganti kenderaan, pelancongan kesihatan dan kesejahteraan serta perubatan tradisional Cina.
Di Tashkent, Jawatankuasa Wilayah Hainan bagi Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT Hainan) buat julung kalinya menganjurkan forum pertukaran ekonomi dan perdagangan bersama Dewan Perniagaan dan Industri Uzbekistan. Pengerusi Jawatankuasa Wilayah CCPIT Hainan, Ning Hongwen, berkata pada forum itu bahawa pelaksanaan operasi khas kastam di seluruh pulau bagi FTP Hainan membuka ruang kepada Uzbekistan untuk memanfaatkan dasar-dasar seperti pengecualian tarif, kadar cukai pendapatan korporat sebanyak 15 peratus serta kemudahan kemasukan barangan ke tanah besar China tanpa dikenakan duti sekiranya nilai tambah hasil pemprosesan di Hainan mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus. Menurut beliau, dasar berkenaan menyediakan laluan yang berdaya maju bagi membolehkan bahan mentah Uzbekistan seperti kapas, buah-buahan, sayur-sayuran dan mineral diproses di Hainan sebelum dipasarkan ke China. Beliau turut menggariskan tiga bidang kerjasama utama yang perlu diberi keutamaan, iaitu pemprosesan produk pertanian, pembuatan peralatan dan tenaga baharu, serta pelancongan kesihatan dan kesejahteraan.
Jawatankuasa Wilayah CCPIT Hainan dan Dewan Perniagaan Hainan masing-masing menandatangani MoU dengan Dewan Perniagaan dan Industri Uzbekistan serta Persatuan Uzbekistan bagi Pembangunan Pelaburan dan Usahawan. Kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi maklumat ekonomi dan perdagangan serta memudah cara lawatan timbal balik delegasi perniagaan.
Sepanjang lawatan itu, delegasi berkenaan turut membantu menjalin kerjasama eksport di antara syarikat Hainan dengan rakan perniagaan tempatan, meliputi produk kimia kegunaan harian, alat ganti kenderaan serta minuman berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran. Persetujuan awal turut dicapai untuk menjalin kerjasama dalam bidang pelancongan, perkhidmatan perubatan dan kesihatan, pembiakan serta pembenihan pertanian dan robot industri.
Data daripada Jawatankuasa Wilayah CCPIT Hainan menunjukkan bahawa sejak pelaksanaan operasi khas kastam di seluruh pulau pada 18 Disember, 2025, nilai import dan eksport Hainan dengan negara-negara Asia Tengah telah melonjak 296.5 peratus tahun ke tahun, manakala perdagangan dengan negara-negara rakan Belt and Road meningkat 34.7 peratus dalam tempoh yang sama. Dari Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 184 perusahaan baharu yang menerima pelaburan asing dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) telah didaftarkan di Hainan, meningkat 80.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Ketika ini, Hainan mempunyai 31 laluan penerbangan terus yang menghubungkannya dengan sembilan negara anggota SCO. Perkhidmatan penerbangan antara Sanya dengan Tashkent yang beroperasi dua kali seminggu juga sedang diperluaskan. Gabungan jaringan pengangkutan yang semakin baik dengan dasar-dasar yang menggalakkan menyediakan keadaan yang kondusif bagi membolehkan bahan mentah dari Asia Tengah memasuki pasaran China menerusi Hainan.
Misi ke Asia Tengah ini merupakan satu usaha untuk memperluaskan jangkauan pasaran merentasi rantau, menjelang ulang tahun pertama pelaksanaan operasi khas kastam di seluruh pulau bagi FTP Hainan. Berdasarkan jadual lawatan delegasi berkenaan sepanjang tahun ini, program promosi ekonomi dan perdagangan FTP Hainan telah menjangkau pelbagai negara dan wilayah, termasuk Thailand, Amerika Syarikat, Oman serta wilayah pentadbiran khas Hong Kong dan Macau, China.
SUMBER: Jawatankuasa Wilayah Hainan bagi Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT Hainan)
KAPSYEN: Jawatankuasa Wilayah CCPIT Hainan memeterai satu MOU dengan Dewan Perniagaan dan Industri Uzbekistan.